Tips Tepat Mengisi Borang Permohonan SPA

Tips mengisi borang online SPA.

1.     Mendaftar di http://www.spa.gov.my dengan mengisi setiap ruangan yang disediakan dengan betul. Pastikan anda tidak tertinggal untuk mengisi mana-mana kekotak yang ditandakan dengan simbol *kerana kesilapan tersebut akan menyebabkan permohonan anda ditolak oleh sistem laman web SPA. Harus diingat bahawa sistem yang menyemak permohonan calon adalah arahan komputer yang telah disetkan. Sebarang kesilapan walaupun kecil akan di tolak terus oleh sistem ini.

2.     Untuk bahagian alamat, saya sarankan anda menggunakan alamat yang selamat. Sebaik-baiknya adalah alamat yang mempunyai kotak pos (post box) berkunci. Kerana terdapat beberapa kes penyerahan surat Panggilan Temuduga tidak terserah kepada calon kerana alamat tidak lengkap atau calon tidak dimaklumkan oleh penerima tentang surat panggilan temuduga kerana menggunakan alamat orang lain.

3.     Pastikan nombor telefon untuk dihubungi adalah nombor telefon bimbit anda sendiri. Bagi yang selalu menukar nombor telefon bimbit, anda dinasihatkan memasukkan nombor telefon ahli keluarga anda yang diketahui tidak sering menukar nombor telefon mereka. Sebaiknya adalah ahli kerluarga yang tinggal serumah dengan anda.

4.     Pada ruangan email, saya nasihatkan anda membuka alamat email yang kelihatan professional dan meyakinkan. Walaupun perkara ini nampak remeh, namun ia memainkan peranan penting semasa pihak SPA menilai PERWATAKAN dan SAHSIAH calon. Saya cadangkan anda membuat alamat email baru khas untuk temuduga. Ia bagi mengelakkan anda terlepas pandang email panggilan temuduga disebabkan oleh ratusan email dalam inbox email anda!

5.     Semasa memilih jawatan, sebaik-baiknya anda menilai berdasarkan:

Tips mendapatkan Panggilan Temuduga.

ü  Memenuhi syarat skim perkhidmatan bagi jawatan yang dipohonbermaksud sepadan 100% dengan kelayakan akademik anda. Klik pada maklumat Jawatan (Gaji/ Syarat Lantikan/Deskripsi Tugas) pada laman SPA untuk melihat kelayakan yang diperlukan.

ü  Menyusun susunan pilihan jawatan dengan mendahulukan jawatan paling sepadan dengan kelayakkan anda di ruangan pilihan yang teratas.  –Iaitu pada syarat lantikan, kelayakan anda tidak seperti yang terletak pada syarat selepas perkataan “atau” .

ü  Semasa memilih jawatan, perhatikan juga syarat yang tertulis dalam kurungan contohnya
“(Keutamaan diberi pada calon yang berkebolehan dalam Bahasa Inggeris dan mengendalikan komputer) , (Keutamaan diberi kepada calon yang lulus dalam salah satu daripada subjek Sains)”. Sekiranya anda memilikki apa yang disebutkan sebagai keutamaan ini, jadikan jawatan tersebut salah satu daripada pilihan utama anda. Sebaliknya, sekiranya anda tidak memilikki apa yang disenaraikan, jadikan ia pilihan terakhir.

ü  Sebaik-baik jawatan yang anda pohon adalah berdasarkan minat dan pengetahuan sedia ada anda. Ia akan banyak membantu semasa anda menghadapi temuduga nanti.


6.     Pada bahagian Ko-Kurikulum, masukkan sekurang-kurangnya dua aktiviti sukan dan persatuan yang pernah anda sertai. Bagi yang tidak aktif dalam kegiatan Ko-kurikulum, cuba ingat kembali apa sahaja penyertaan anda. Anda pasti pernah terlibat walaupun secara kecil-kecilan. Pastikan anda mengisi bahagian ini kerana ia wajib bagi mendapatkan panggilan temuduga.Kerana terdapat syarat penilaian calon yang berbunyi “bukan berdasarkan kepada tahap kecemerlangan akademik semata-mata”.


7.      Awas pada soalan-soalan ini kerana ramai calon terlupa untuk mengisinya: 

i.              Bahagian Kelulusan Pengajian Tinggi (Diploma/Sijil)-
Soalan: Institusi Francais Luar Negara :
ii.             Bahagian Pekerjaan sekarang-
Soalan: Status :

Jangan biar jawapan terletak pada “SILA PILIH” kerana ia akan menjadi sebab  permohonan anda ditolak oleh sistem pengambilan SPA.
8.     Pada ruangan “Kebolehan Bahasa/Dialek Selain Bahasa Melayu” pula wajib anda mengisi dengan “BAHASA INGGERIS”. Penguasaan “BERTUTUR DAN MENULIS”. Ia akan memberi kelebihan kepada permohonan anda berbanding calon lain. Jangan takut untuk mengisi jawapan pada soalan ini. Kerana temuduga dalam Kerajaan Malaysia masih menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar untuk urusan rasmi kerajaan. Soalan yang perlu anda jawap dengan bahasa Inggeris semasa temuduga sangat sedikit.(untuk jawatan kelayakan diploma dan ijazah sahaja – jawatan kelayakan SPM ke bawah tidak akan ditanya dalam bahasa Inggeris)
9.     Pastikan anda menyemak butir-butir peribadi anda sekurang-kurangnya dua kali sebelum klik pada “Saya Setuju” dan menekan butang hantar. Setelah menghantar permohonan, semak inbox email anda untuk memastikan pihak SPA telah menghantar email sebagai pengesahan penerimaan pendaftaran anda. Sekiranya belum, sila hantar sekali lagi. Ini mungkin disebabkan ‘server’ sedang sibuk atau talian tergendala.


10.  Sila kemaskini permohonan anda sekurang-kurangnya setiap ENAM BULAN sekali.

Copyright © 2013 Tips Temuduga and Blogger Themes.